oleh: Ustaz Zahazan Mohamed (
zahazan@telagabiru.net.my )
Anas bin Malik r.a. menceritakan
bahawa satu ketika semasa berada di Zaura’, Baginda telah menyuruh para
sahabat berwuduk dengan air yang sedikit. Ini berlaku setelah Baginda
s.a.w. meletakkan tapak tangan Baginda dalam air itu, maka dengan
tiba-tiba air memancar deras dari celah-celah jari Baginda. Kejadian
itu berlanjutan hinggalah mereka semua selesai berwuduk. “Berapakah
jumlah kamu pada masa itu?” tanya saya (perawi) pada Anas. Jawabnya:
“Kami seramai tiga ratus orang.” (Riwayat Muslim no. 6082 dan
al-Baihaqi dalam al-Dalail, 6/ 136)
Dalam riwayat yang berbeza,
daripada Abdillah, dia berkata ketika kami dalam perjalanan bersama
Nabi s.a.w. kami telah kehabisan air. Rasulullah bertanya, “Siapakah
dalam kalangan kamu yang memiliki air?” Setelah kami menemui orangnya,
kami menyerahkan air itu kepada Nabi s.a.w. Air itu kemudiannya
dicurahkan olehnya ke dalam sebuah wadah. Setelah itu Baginda
meletakkan tapak tangan Baginda ke dalam wadah itu. Secara mendadak
terbitlah air dengan derasnya dari hujung jarinya. Baginda bersabda
yang bermaksud, “Marilah kita berwuduk bersama-sama dengan air yang
diberkati Allah ini!” Daripada air itu jugalah saya minum dengan
sepuas-puasnya dan memberikan minum kepada orang lain yang
memerlukannya. (Riwayat al-Bukhari no. 200 dan al-Baihaqi dalam
Sunannya no. 118)
Ibn Abbas r.a. pula menceritakan
tentang pengalamannya kehabisan air semasa dalam perjalanan bersama
Nabi s.a.w. Seorang tentera yang turut serta telah memaklumkan keadaan
itu kepada Nabi s.a.w. Nabi lantas bertanya, adakah kamu mempunyai
sedikit air? Orang itu menjawab: “Ya wahai Nabi!” Rasulullah lantas
bersabda yang bermaksud: “Bawakanlah ia kepadaku.”
Maka orang itu pun membawakannya
kepada Nabi s.a.w. Baginda kemudiannya meletakkan jari-jemarinya di
bibir wadah sambil merenggangkannya. Secara tiba-tiba didapati sumber
air yang memancar dari celah-celah jarinya. Nabi s.a.w. kemudian
mengarahkan kepada Bilal untuk mengumumkan kewujudan air untuk
berwuduk.
Dalam riwayat yang lain daripada
Qatadah daripada Anas r.a., jumlah tentera yang turut serta mendapat
keberkatan berwuduk dan untuk minuman pada hari itu adalah tujuh puluh
hingga lapan puluh orang. (Riwayat al-Bukhari no. 3572)
Dalam peristiwa al-Hudaibiyyah
pula, Jabir bin Abdillah r.a. meriwayatkan semua rombongan dapat minum
dan berwuduk dengan air yang terpancar dari celah-celah jari Nabi
s.a.w. Padahal kuantiti air yang mengalir itu sebenarnya mampu
digunakan oleh beberapa orang sahaja.
Dalam hadis yang lain yang turut
diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Rasulullah telah mengatakan kepada
Jabir agar berpesan kepada kaum Muslimin supaya tidak meninggalkan
wuduk. Jabir berkata, “Saya cuba menjelaskan halangan yang menyebabkan
mereka tidak mengambil wuduk, iaitu kerana ketiadaan air, walaupun
setitis.” Rasulullah s.a.w. telah menyuruh saya menemui seorang sahabat
daripada kalangan Ansar yang sentiasa membekalkan air untuk Nabi s.a.w.
Setibanya saya di rumah sahabat itu saya mendapati hanya sedikit air
yang tinggal dalam girbah (bekas air yang dibuat daripada kulit). Jika
ia tertumpah tentulah air minumnya akan kehabisan. Rasulullah menyuruh
saya membawakan bekas itu kepadanya. Baginda kemudiannya memegang
girbah itu dan menadah tangannya berdoa. Kemudian Baginda meminta saya
menuangkan air itu ke dalam sebuah mangkuk besar. Setelah saya
mendapatkannya menerusi pemberian seseorang, mangkuk itu saya berikan
kepada Nabi s.a.w. Baginda meletakkan kedua-dua tangannya di atas
mangkuk itu sambil merenggangkan jari-jemarinya. Sebaik sampai
tangannya di bawah mangkuk itu, Baginda bersabda yang bermaksud: “Hai
Jabir! Terapkan mangkuk itu kepadaku sambil membaca bismillah.” Maka
saya pun melakukan mengikut suruhan Baginda. Tidak semena-mena saya
melihat air terbit dari celah-celah jari Rasulullah s.a.w. Kemudian
Baginda memisahkan mangkuk itu dari tangannya. Air keluar terus-menerus
secara berputar-putar dari tangan Baginda hingga memenuhi mangkuk itu.
Setelah itu Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hai Jabir! Jemputlah
sesiapa sahaja yang memerlukan air.” Saya telah memanggil sahabat
kesemuanya dan mereka telah minum hingga puas. Selepas itu Rasulullah
mengangkat tangannya daripada mangkuk itu. (Riwayat Muslim no. 3580)
sumber: SOLUSI
No comments:
Post a Comment