oleh: Husna Hassan (
husna@telagabiru.net.my )
Dunia fesyen andai dilihat dari
kaca mata Barat kelihatan glamor, anggun dan menawan. Namun andai
dilihat dengan kaca mata yang dibimbing oleh syariat, dunia fesyen itu
lebih menjanjikan “azab” di akhirat kelak. Apa tidaknya, setiap helai
pakaian yang direka, majoritinya tidak mencapai standard yang telah
digariskan Islam. Akhirnya demam berpakaian mengikut trend terkini itu
merebak dalam kalangan wanita Muslimah, hingga kadangkala sukar
dibezakan antara wanita Muslimah dengan yang lain.
Allah berfirman dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menjaga
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;
dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan
kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara
mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak
bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan
Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki
yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan
janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian
kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya.”
Ayat ini begitu sinonim dengan
wanita. Namun penulis percaya ramai wanita yang belum lagi betul-betul
mengenali dan mendalami ayat ini bagi menghayati syariat yang berkaitan
dengan wanita. Dalam ’Ahkam al-Quran, Ibn al-Arabi berpendapat bahawa
ayat ini terdapat beberapa permasalahan berikut:
Menundukkan Pandangan dan Menjaga Kehormatan
Ayat ini walaupun ditujukan khas
buat wanita, namun anjuran ini termasuk juga lelaki. Ummu Salamah
meriwayatkan: “Aku, Aisyah dan Maimunah berada di hadapan Rasulullah
s.a.w. Tiba-tiba putera Ummu Maktum meminta izin masuk kepada baginda.
Lalu Rasulullah berkata kepada kami (maksudnya): ‘Pakailah hijab
kalian.’ Mereka berkata: ‘Bukankah dia buta?’ Rasulullah menjawab:
‘Apakah kalian buta?’” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Jangan Zahirkan Perhiasan
Wanita ditegah sama sekali
daripada menzahirkan perhiasan kecuali yang biasa terlihat. Menurut
ulama kontemporari, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, yang dimaksudkan dengan
“perhiasan perempuan” dalam ayat ini ialah apa sahaja yang dipakai
untuk berhias dan mencantikkan tubuh sama ada berbentuk ciptaan asli
seperti wajah, rambut, potongan badan ataupun buatan seperti pakaian,
perhiasan, make-up dan sebagainya. Seorang penyair pernah berkata:
“Mereka (wanita) memakai
perhiasan seindah yang engkau lihat.Apabila mereka berlalu
meninggalkanmu,maka mereka adalah orang yang paling baik untuk pergi.”
Tutup Belahan Leher Baju
Anjuran ini juga terkandung dalam
surah al-Nur ayat 31 ini. Imam al-Bukhari ada meriwayatkan daripada
Aisyah r.ha. bahawa beliau berkata: “Allah telah menyayangi wanita yang
berhijrah kerana waktu itu bertepatan dengan turunnya ayat, ‘Hendaklah
mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.’
Kemudian mereka mengoyak sebahagian kain yang mereka miliki untuk
dijadikan tudung. Begitu juga mereka yang mempunyai sarung. Itu semua
menunjukkan kewajipan menutup leher dan bahagian dada seorang
perempuan.”
Bagaimana menutupnya? Jawapan
cukup mudah dan amat praktikal, labuhkan sedikit tudung anda hingga
menutup bahagian dada dan jangan sekali-kali memakai tudung yang nipis
yang masih menampakkan belahan baju walaupun bertudung.
Siapa Muhrim Wanita?
- 1. Suami.
- 2. Ayah.
- 3. Bapa mertua.
- 4. Anak lelaki.
- 5. Anak-anak suami (anak tiri).
- 6. Saudara kandung lelaki.
- 7. Anak daripada saudara lelaki.
- 8. Anak lelaki daripada saudara perempuan.
- 9. Perempuan yang beragama Islam.
- 10. Budak (hamba sahaya).
- 11. Lelaki yang tidak mempunyai syahwat.
- 12. Anak-anak yang belum mengerti aurat wanita.
- 13. Lelaki tua yang tidak lagi mempunyai keinginan kepada wanita.
Membunyikan Perhiasan
Dan firman Allah dalam ayat yang sama, maksudnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.”
Tujuan menghentakkan
kaki di sini ialah supaya orang lain tahu perhiasan yang dipakai oleh
wanita tersebut seperti gelang kaki yang bergemerencing, kasut bertumit
tinggi atau bertumit keras hingga menghasilkan bunyi hentakan setiap
kali berjalan dan sebagainya yang boleh menarik perhatian insan lain
terutamanya lelaki ajnabi.
Wallahuaklam.
sumber: SOLUSI

No comments:
Post a Comment